Lebih banyak Koperasi Kariah Masjid baharu, koperasi dipulihkan - Wan Junaidi
Astro Awani
Julai 27, 2020 21:16 MYT
Julai 27, 2020 21:16 MYT
Penubuhan Koperasi Kariah Masjid baharu serta pemulihan koperasi tidak aktif akan dilaksanakan dalam program pemantapan koperasi dan pembangunan usahawan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi ummah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melalui kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), antara yang dicadangkan adalah memperluaskan penubuhan Koperasi Kariah Masjid ke seluruh negara.
Beliau berkata, ia adalah susulan titah Yang di-Pertuan Agong agar koperasi masjid dan surau ditambah agar ekonomi dan kesejahteraan ummah dapat dipertingkatkan.
Menurut Wan Junaidi, berdasarkan rekod pendaftaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2019, terdapat 446 Koperasi Kariah Masjid yang didaftarkan dengan keahlian seramai 30,515 ahli, serta mencatatkan pendapatan RM15.37 juta.
"Daripada jumlah itu 300 adalah koperasi aktif, 69 koperasi tidak aktif dan 77 koperasi dorman.
"Ini menunjukkan gerakan Koperasi Kariah Masjid mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Wan Junaidi berkata, Koperasi Kariah Masjid yang tidak aktif dan dorman perlu dibantu untuk dipulihkan dan diperkenalkan kepada aktiviti perniagaan yang berpotensi bagi memacu keyakinan kariah di samping menyumbang kepada pendapatan.
Beliau berkata koperasi itu dengan keanggotaan minimum seramai 50 ahli yang terbuka kepada masyarakat setempat, merupakan inisiatif untuk membangunkan ekonomi kariah masjid melalui aktiviti perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Pada masa yang sama, Wan Junaidi berkata MEDAC dan JAKIM juga akan meneroka kerjasama bagi menambah nilai komersial ke atas produk usahawan dan koperasi melalui pensijilan halal, memajukan tanah-tanah wakaf di seluruh negara untuk kemaslahatan ummah dan menambah nilai Program Usahawan Asnaf.
"MEDAC berharap kerjasama strategik ini akan memastikan pelaksanaan program-program pemantapan koperasi dan pembangunan usahawan melalui MEDAC dan JAKIM," jelasnya.
#ekonomi
#Islam
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
#Medac
#SKM
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar
#Yang di-Pertuan Agong