Lebih banyak kawasan alami fenomena 'air termenung' di Kelantan

Muhafandi Muhamad
November 30, 2020 07:46 MYT
Penduduk kampung berharap pihak bertangungjawab mencari jalan mengatasi masalah 'air termenung' termasuk dengan membina sistem perparitan yang sesuai. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Kira kira 1,000 orang penduduk di tiga kampung berdepan dengan keadaan fenomena 'air termenung' atau air banjir yang bertakung disebabkan aliran air yang tidak dapat keluar.
Sejak dua minggu lalu, air hujan yang bertakung tidak dapat dialirkan keluar dari Kampung Pulau Melaka, Kampung Babong dan Kampung Hujung Tanjung di sini.
Seorang penduduk, Tengku Mohd Amur Fazlizam Raja Ali, berkata itu adalah masalah yang sering dihadapi setiap kali banjir berlaku di kampung mereka.
"Masalah ini sudah lima tahun berlarutan... air tak boleh keluar, tersekat di kampung ini... tak ada saluran yang air boleh keluar.
"Ia berlaku sejak 2014 lagi. Banyak masalah terpaksa dihadapi penduduk disebabkan keadaan seperti ini, kereta tak boleh keluar masuk dan sebagainya," katanya di sini.
BACA: Banjir Termenung: Sudah lima hari Kampung Padang Garam masih digenangi air
Seorang lagi penduduk, Roslan Yusuf, berkata mereka terpaksa menggunakan sampan untuk bergerak sementara menunggu air surut yang mungkin boleh mengambil masa sehingga sebulan.
"Dulu kita buat rakit sendiri sebab tak ada pilihan nak bergerak. Sekarang ada orang bagi guna bot... kita terpaksa cari jalan untuk bergerak dalam keadaan seperti ini," katanya.
Dia berkata, penduduk berharap pihak bertangungjawab mencari jalan untuk mengatasi masalah itu termasuk membina sistem perparitan yang bersesuaian.
Sehingga semalam keadaan banjir semakin pulih di Kelantan, namun paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan bacaan paras bahaya iaitu, 9.37 meter.
#Kelantan #banjir #banjir termenung #kampung babong #kampung hujung tanjung #Kampung Pulau Melaka #air termenung #sistem perparitan
;