Lebih banyak inisiatif NACP dijangka selesai pada 2022 - GIACC

Astro Awani
Februari 9, 2022 14:57 MYT
Setakat 31 Disember 2021, sebanyak lapan daripada 82 inisiatif yang digariskan dalam Semakan Separuh Penggal NACP telah berjaya dilaksanakan sehingga peringkat output oleh agensi peneraju. - GIACC
KUALA LUMPUR: Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) menyasarkan lebih banyak inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) dapat selesai dilaksanakan pada tahun ini.
Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, ia berikutan momentum positif yang ditunjukkan oleh 27 ketua agensi peneraju.
Jelasnya, setakat 31 Disember 2021, sebanyak lapan daripada 82 inisiatif yang digariskan dalam Semakan Separuh Penggal NACP telah berjaya dilaksanakan sehingga peringkat output oleh agensi peneraju.
“Daripada 74 inisiatif yang berbaki ini, sebanyak 14 inisiatif lagi sedang dalam proses pelaksanaan diperingkat output dan dijangka selesai dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.
“Bagi memastikan lebih banyak inisiatif NACP dapat selesai dilaksanakan sehingga peringkat output pada tahun ini, ketua agensi peneraju dinasihatkan supaya memberi fokus kepada inisiatif yang mustahak untuk dilaksanakan seiring dengan dasar kerajaan ketika ini yang menjurus ke arah pemulihan sektor ekonomi dan sosial negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, GIACC yakin sekiranya pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memerlukan perubahan berbentuk pentadbiran serta fokus kepada agenda antirasuah dapat diutamakan, dijangka lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan sehingga peringkat output sebelum pertengahan tahun 2022.
NACP yang dilancarkan pada 2019 akan berakhir pelaksanaannya pada 2023 menerusi 115 inisiatif yang dilancarkan pada 2019.
Mengambil kira 29 inisiatif yang telah siap pada tahun 2019 sehingga peringkat output dan 82 inisiatif yang sedang dilaksanakan menjadikan keseluruhan 111 inisiatif NACP yang kini dipantau oleh GIACC.
#integriti #antirasuah #GIACC #NACP
;