Lebih 97,000 'frontliners' di Sarawak mendaftar terima vaksin fasa pertama
Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman
Februari 22, 2021 19:15 MYT
Februari 22, 2021 19:15 MYT
KUCHING: Seramai lebih 97, 000 petugas barisan hadapan di seluruh Sarawak telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 fasa pertama yang dijangka bermula 27 Februari depan.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing, pendaftaran itu telah dilaksanakan lebih awal.
"Sebenarnya pihak JKNS telah mengumpulkan lebih 97,000 nama petugas barisan hadapan sebelum program vaksinasi ini bermula.
"Ini akan melancarkan proses vaksinasi dan seterusnya kita bleh fokus kepada orang awam yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit berisiko pada fasa kedua dan fasa ketiga,” jelasnya dalam sidang media COVID-19 hari ini.
Sarawak dijangka menerima penghantaran vaksin pertama pada 24 Februari ini sebelum diedarkan serentak di Stadium Perpaduan Kuching dan Sibu pada Sabtu depan serta 6 Mac di Miri.
Sementara itu, kerajaan negeri menjangkakan seramai 70 peratus daripada 2.8 juta penduduk di negeri itu akan menerima suntikan vaksin secara berkala sehingga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ditamatkan.
Sebanyak 56 pusat vaksin dikenal pasti bagi tujuan melakukan suntikan vaksin di seluruh Sarawak antaranya Hospital Bau, Hospital Lundu, Klinik Kesihatan Singai, Klinik Kesihatan Batu Kawa, Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Klinik Kesihatan Petra Jaya, Klinik Kesihatan Tanah Putih dan Hospital Umum Sarawak.
#vaksin COVID-19
#petugas barisan hadapan
#Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak
#Dr Chin Zin Hing
#vaksinasi
#program vaksinasi
#Sarawak