Lebih 90 rumah di perkampungan atas air Sandakan musnah terbakar
Radhi Muslim
Mac 6, 2023 12:48 MYT
Mac 6, 2023 12:48 MYT
SANDAKAN: Lebih 90 unit rumah setinggan di perkampungan atas air di Kampung Cenderamata, Batu Sapi, dekat sini, musnah terbakar pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dianggarkan lebih 400 mangsa terlibat.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.48 pagi.
Menurutnya, kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi.
“Pendaftaran masih dijalankan dan kaunter laporan polis turut dibuka di PPS terbabit bagi memudahkan membuat laporan polis.
“Bagaimanapun punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.