Lebih 90 peratus usahawan IKS bakal terjejas jika PKP berlarutan - Wan Junaidi

Hilmi Malik
Jun 4, 2021 21:14 MYT
Dianggarkan lebih 90 peratus usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dijangka akan berdepan risiko terjejas sekiranya PKP 3.0 dilaksanakan secara berterusan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Dianggarkan lebih 90 peratus usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dijangka akan berdepan risiko terjejas sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0) dilaksanakan secara berterusan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ketika ini sebahagian besar mereka hanya mempunyai tempoh selama tiga hingga enam bulan untuk bertahan.
“Ada yang hanya mampu bertahan selama tiga bulan dan kemudian terputus sumber kewangan.
"Ada juga yang mungkin hanya mampu bertahan selama enam bulan, seterusnya tidak mampu lagi untuk menanggung kos overhead dan sebagainya,” katanya pada sidang medianya secara maya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan, hasil kajian sejak Mac lalu mendapati golongan usahawan wanita antara yang paling teruk terjejas berikutan kebanyakan daripada mereka menjalankan konsep perniagaan secara perkhidmatan.
Melihat kepada keadaan itu, beliau menyarankan agar usahawan IKS untuk beralih ke arah perniagaan yang berasaskan digital kerana ia mampu meraih keuntungan yang lebih besar ketika pandemik.
“Kita harapkan mereka beralih ke konsep digital seperti mana inisiatif kerajaan yang telah menyediakan bimbingan dan sebagainya.
“Merka bukan hanya mampu bertahan malah dilihat mampu meningkatkan lagi tahap penjualan mereka.
“Saya telah membuat beberapa tinjauan dan reaksi peniaga amat memuaskan dengan kadar pulangan mereka yang positif,” katanya lagi.
Pada masa sama, Wan Junaidi mengingatkan golongan usahawan kecil yang dibenarkan untuk beroperasi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Katanya, tanggungjawab itu penting bagi memastikan penularan COVID-19 dapat diputuskan sekali gus kembali kepada kehidupan normal.
#PKP #SOP #usahawan #peniaga #Medac #pandemik #IKS #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Industri Kecil dan Sederhana #COVID-19
;