Lebih 800 media profesional asing buat liputan haji

Bernama
Ogos 17, 2018 09:57 MYT
Pemandangan dari udara sekitar Masjidil Haram pada musim haji. Wartawan juga dibawa meninjau sekitar kawasan meliputi Muzdalifah, Arafah dan Mina oleh Pasukan Keselamatan Penerbangan Awam Arab Saudi dengan menaiki helikopter. --fotoBERNAMA
Bersesuaian dengan slogan haji tahun ini 'The Kingdom Embraces the World' (Kerajaan Merangkul Dunia), Arab Saudi menjadi tuan rumah kepada lebih 800 media profesional dari luar negara untuk liputan haji musim ini
Adalah dijangka antara dua hingga tiga juta jemaah dari seluruh dunia akan berkumpul pada kemuncak ibadah tahunan ini dari 19-24 Ogos.
Menteri Penerangan Saudi Dr. Awad Saleh Al-Awad berkata kerajaan berbangga menyediakan kemudahan kepada wartawan yang terlibat dari segi perkhidmatan, kemudahan dan tempat tinggal.
Beliau berkata, kementeriannya telah melengkapkan beberapa pusat media di Makkah dan tempat-tempat suci pada tahun ini untuk tetamu yang terdiri daripada wartawan dan media profesional dari dalam dan luar negara ini.
"Kerajaan juga menyediakan semua perkhidmatan yang diperlukan oleh media dari segi teknologi, rangkaian komunikasi, komputer dan studio," katanya kepada pemberita selepas beliau melawat ibu pejabat Kementerian Radio dan Televisyen, Saudi Press Agency dan pusat maklumat di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada Khamis.
"Ia suatu usaha yang besar untuk menjadi tuan rumah kepada sejumlah besar tetamu Allah dan menyediakan kemudahan kepada mereka semasa mengerjakan ibadah wajib ini dengan adanya enam stesen radio rasmi dan 10 penyiaran antarabangsa dalam 10 bahasa, menyediakan buletin berita dan program harian mengenai Haji, 16 rangkaian penerbitan digital secara langsung dalam enam bahasa, bekerja 24 jam bagi liputan musim haji dalam cara yang kreatif, cepat dan berinovasi," kata Dr Awad.
Dikenali sebagai perhimpunan terbesar dunia, ibadah Haji ini menyaksikan para jemaah melakukan tanggungjawab mereka antaranya tawaf mengelilingi Kaabah, melontar batu di tiga Jamraah dan Sai antara Bukit Safa dan Marwa.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Awad Saleh Al-Awad #Haji #Makkah #Masjidil Haram #Media #petugas #profesional
;