Lebih 80,000 hadir Malam Cinta Rasul di Dataran Sejarah Ayer Keroh

Bernama
Disember 30, 2022 22:43 MYT
Orang ramai hadir membanjiri Dataran Sejarah sempena program Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah di Ayer Keroh, malam ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Lebih 80,000 pengunjung menghadiri Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini malam ini.
Majlis yang bermula pada 9 malam itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan barisan Exco.
Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.
Umat Islam di negeri ini yang mula membanjiri Dataran Sejarah Ayer Keroh pada 5 petang tadi, disajikan dengan tayangan montaj dan bacaan Ratib al-Attas serta Asma'ul Husna.
Pengunjung kemudiannya menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di padang dataran berkenaan yang diimamkan Ustaz Abdul Karim Al-Makki, diikuti dengan Zikir Munajat bersama jemaah dan penceramah yang hadir.
Pada majlis itu turut diadakan bacaan maulid dan qasidah oleh Ustaz Al Habib Syech Abdul Qodir Assegaf disusuli penyampaian tausiyah oleh Ustaz Wadi Annuar.
Majlis berkenaan diakhiri dengan Mahallul Qiyam dan doa khatam.
-- BERNAMA
#Malam Cinta Rasul #Dataran Sejarah Ayer Keroh #Melaka Serambi Madinah #Sambutan Ulang Tahun Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya
;