Lebih 700 wakil syarikat tempatan, asing sertai taklimat HSR KL-Singapura
Bernama
Julai 27, 2023 04:46 MYT
Julai 27, 2023 04:46 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih daripada 700 wakil syarikat tempatan dan antarabangsa selain kedutaan asing, telah menghadiri taklimat Pelaksanaan Permintaan Maklumat (RFI) projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura anjuran MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) di Putrajaya, pada Khamis.
Dalam kenyataannya, MyHSR berkata taklimat tersebut memberi gambaran menyeluruh mengenai proses RFI, termasuk garis masa bagi firma-firma tempatan dan antarabangsa serta konsortium untuk mengemukakan cadangan konsep masing-masing berkaitan projek itu berlandaskan model kerjasama awam-swasta.
"Peringkat cadangan konsep itu akan dimulakan dengan pengagihan Dokumen RFI mulai 11 Ogos sehingga tarikh akhir 15 Nov, 2023 bagi tujuan serahan," katanya.
MyHSR Corp berkata struktur projek itu adalah berdasarkan model "design-finance-build-operate-transfer" (reka bentuk-pembiayaan-bina-operasi-pindahan).
Sehubungan itu, katanya, firma serta konsortium terbabit perlu menunjukkan keupayaan membangunkan projek itu dengan bukti rekod prestasi, kepakaran teknikal, sumber dan kemampuan pengurusan bagi menyiapkan pembangunan infrastruktur besar itu dalam peruntukan kos, kualiti serta masa ditetapkan.
Selain syarikat tempatan, taklimat RFI itu turut disertai oleh wakil penggiat industri dari United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Netherlands, Australia, China, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Thailand dan Singapura.
-- BERNAMA