Lebih 70 peratus nelayan terlibat penyalahgunaan dadah

Nazialita Geynna Maharan
Julai 31, 2016 15:01 MYT
Mohd Yunus berkata, antara pemangkin kepada penglibatan dadah dalam kalangan nelayan adalah disebabkan oleh akses mudah kepada bahan terlarang tersebut. - Gambar fail
Lebih daripada 70 peratus nelayan di seluruh negara terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah yang serius.
Yang Dipertua Persatuan PENGASIH Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd berkata golongan pengusaha hasil laut itu sering terjebak dengan gejala tersebut berikutan beberapa faktor utama.
"Antara sebab utama adalah ianya sudah sebati dan menjadi budaya serta norma kepada nelayan di seluruh negara, sudah menjadi kebiasaan kepada mereka.
"Lebih teruk, ada juga yang mengamalkan sistem barter iaitu bertukar barang untuk mendapatkan dadah, jelas ianya satu budaya serong yang perlu ditangani segera," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri PEMADAM Negeri Perak bersama PENGASIH Aman Jaya di dataran Rumah PENGASIH Aman Jaya pada Sabtu.
Jelasnya, antara pemangkin kepada penglibatan dadah dalam kalangan nelayan adalah disebabkan oleh akses mudah kepada bahan terlarang tersebut.
"Statistik tertinggi bagi penglibatan dadah di seluruh negara adalah di kawasan pesisiran pantai manakala bagi negeri Perak ianya mencatatkan rekod tertinggi di beberapa daerah.
"Antaranya Manjung, Larut Matang dan Selama serta Kerian-ini adalah kawasan dengan catatan penagih dadah tertinggi,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Yunus menyentuh mengenai persepsi dan mentaliti negatif masyarakat mengenai kegunaan sebenar dadah khususnya dari segi rawatan dan pemulihan.
"Drug user is not a criminal, semua kita menggunakan dadah dalam dos terkawal yang diberikan oleh mereka yang bertauliah tetapi apabila dadah disalah guna, dan dikomersial barulah ianya satu kesalahan.
"Kita harus sedar bahawa dari segi daun ketum pula memang tidak dinafikan daun ini membawa banyak manfaat namun kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil terutamanya buat mereka yang menggunakannya secara tradisional," ujarnya.
#gejala dadah #Mohd Yunus Pathi #nelayan terlibat dadah #Pengasih #salah guna dadah
;