Lebih 70,000 bahan prasejarah ditemukan di tapak pembinaan empangan hidroelektrik Neggiri

Bernama
Ogos 22, 2024 17:09 MYT
Sebahagian penemuan artifak prasejarah telah ditemui oleh Jabatan Warisan Negara di Lembah Nenggiri. - Bernama
GUA MUSANG: Sejumlah 71,289 sumber khazanah warisan dan bahan prasejarah ditemukan di kawasan Lembah Nenggiri di sini yang menjadi tapak pembinaan empangan hidroelektrik.
Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara Zaharudin Abu berkata jumlah berkenaan termasuk membawa keluar 16 rangka, peralatan batu, tembikar dan lain-lain.
Beliau berkata 16 rangka manusia itu kini ditempatkan di Jabatan Warisan untuk kerja-kerja pemuliharaan dan konservasi serta penyelidikan lanjut manakala selebihnya disimpan di tempat khas di Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kesemua penemuan itu hasil penyelidikan dan ekskavasi di 13 gua batu kapur yang terlibat dengan pembinaan projek empangan hidroelektrik Nenggiri.
"Kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi itu dimulakan pada Mac 2022 dan berakhir Oktober tahun lepas, dalam tempoh itu penemuan terbesar kami adalah menjumpai satu rangka manusia yang lengkap di Gua Keledung Kecil berusia anggaran 14,000 hingga 16,000 tahun," katanya kepada pemberita di Pos Tohoi di sini.
Zaharudin turut menyarankan TNB untuk mewujudkan mini galeri di Gua Musang untuk mempamerkan khazanah negara termasuk artifak yang ditemukan di Nenggiri.
"Saya melihat ini sebagai satu peluang kepada masyarakat dan sektor pelancongan arkeologi di Kelantan dan limpahan ekonomi bakal dinikmati rakyat negeri ini.
"Selain itu, Jabatan Warisan juga akan meminta pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencalonkan objek rangka manusia di Gua Keledung Kecil itu diwartakan di bawah Akta 645," katanya.
Beliau berkata langkah berkenaan satu daripada usaha untuk menjaga dan memelihara objek berkenaan setelah diwartakan.
"Saya juga menyeru kepada semua penduduk di kawasan Nenggiri, jika ada menjumpai artifak dan objek yang mempunyai nilai warisan agar terus melaporkannya kepada pejabat daerah atau kerajaan negeri.
"Pihak Jabatan Warisan akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mewartakan tapak-tapak yang ada di Kelantan kerana negeri itu kaya dengan tapak warisan, arkeologi mahupun bangunan," katanya.
Zaharudin berkata di bawah Akta 645 untuk mewartakan sesuatu tapak itu perlu mendapat keizinan kerajaan negeri.
Sementara itu, Felow Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli berkata pihaknya telah melakukan kerja-kerja membawa keluar semua bahan prasejarah dan objek yang ditemukan di 13 gua batu kapur berkenaan.
"Kami beranggapan tiada lagi bahan prasejarah atau jumpaan objek ditemukan di gua berkenaan kerana semua telah dibawa keluar," katanya.
Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion itu dijangka siap pada pertengahan tahun 2027 dan akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi serta Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi.
Projek itu akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan serta mampu menjana 300 megawatt (MW) apabila beroperasi kelak.
-- BERNAMA
#Khazanah #prasejarah #empangan hidroelektrik #warisan negara #Nenggiri