Lebih 7,000 sekolah luar bandar nikmati khidmat internet jalur lebar

Bernama
April 25, 2017 19:31 MYT
Kementerian juga mengambil langkah meningkatkan pengalaman pengguna melalui penjadualan mantap penggunaan jalur lebar serta penyediaan kemudahan cache di sekolah yang jalur lebarnya belum dinaik taraf. Gambar hiasan
Sebanyak 10,182 sekolah di seluruh negara dibekalkan dengan perkhidmatan Internet berkelajuan jalur lebar 15Mbps, 10Mbps, 6Mbps dan 2Mbps setakat 17 Mac lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata daripada jumlah itu, 7,050 (69.24 peratus) merupakan sekolah di luar bandar.
"Ia selaras dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mana Kementerian Pendidikan sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mengenal pasti pendekatan paling optimum bagi merangkai semua sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman bagi dinaik taraf kepada rangkaian berkelajuan tinggi."
"Selain itu, kementerian juga mengambil langkah meningkatkan pengalaman pengguna melalui penjadualan mantap penggunaan jalur lebar serta penyediaan kemudahan cache di sekolah yang jalur lebarnya belum dinaik taraf," katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Abidullah Salleh yang ingin tahu adakah perkembangan statistik pencapaian akses dan kelajuan Internet di sekolah seluruh negara terutama sekolah luar bandar selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan dalam memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. -- BERNAMA
#Chong Sin Woon #Internet #jalur lebar #sekolah
;