Lebih 632,000 petani, pesawah terjejas akibat kenaikan harga baja, racun
Ridauddin Daud
Disember 2, 2021 11:36 MYT
Disember 2, 2021 11:36 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 632,000 petani dan pesawah terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran sekali gus mengurangkan pendapatan petani.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, semenjak pandemik melanda negara, harga baja didapati meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun pula meningkat hampir 100 peratus.
Jelasnya, kenaikan kos bahan mentah yang melibatkan hasil petroleum dan sumber asli, peningkatan kos logistik serta kadar tukaran mata wang asing merupakan antara faktor utama mempengaruhi peningkatan harga itu.
“Secara umumnya, petani mengalami peningkatan kos input pertanian sebanyak 21 peratus bagi kategori sayur daun dan 17 peratus masing-masing bagi kategori sayur buah dan buah-buahan berikutan peningkatan harga baja dan racun.
“Manakala, pesawah padi mengalami peningkatan kos sebanyak 11.9 peratus khususnya disebabkan peningkatan harga racun.
“Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah mengumumkan beberapa langkah intervensi khususnya bagi membantu petani dan pesawah yang terjejas,” katanya dalam jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN - Baling) yang bertanya sejauh mana kaedah kementerian mengawal dan mengurus trend perubahan harga bekalan baja dan racun yang naik mendadak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ronald berkata, MAFI telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk kerajaan menawarkan insentif tambahan kepada petani yang terjejas.
“Cadangan tersebut masih di peringkat penelitian dan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan.
“Kerajaan akan terus mengambil langkah menangani kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” ujarnya.