Lebih 600 pengguna selesai pemasangan sistem solar, terima rebat hingga RM4,000
Bernama
Julai 9, 2024 14:58 MYT
Julai 9, 2024 14:58 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 600 pengguna Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat berjaya menyiapkan pemasangan sistem solar dan menerima rebat program Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) yang diperkenalkan sejak 1 April lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata majoriti telah menerima rebat sebanyak RM4,000 bagi setiap pengguna menerusi program itu.
"Analisa terhadap trend permohonan menunjukkan bahawa purata bilangan permohonan NEM Rakyat telah meningkat dari kira-kira 100 permohonan sehari sebelum ini kepada 150 permohonan sehari selepas Skim SolaRIS diluncurkan.
"Langkah ini sekali gus meningkatkan kadar penyerapan (uptake) pemasangan solar dalam kalangan pengguna domestik dan secara tidak langsung akan menyumbang kepada sasaran peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai perkembangan terkini program SolaRIS pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Fadillah berkata program SolaRIS berupaya menurunkan kos pemasangan sistem solar bagi pengguna domestik kerana wujudnya ekonomi 'soft-scale' dan membolehkan pemasangan sistem solar menjadi lebih mampu bayar bagi rakyat.
Menjawab soalan tambahan Azli berhubung adakah kerajaan bercadang mewujudkan garis panduan bagi membolehkan pindah milik lesen Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) sekiranya pemilik rumah menjual rumah, Fadillah berkata perkara itu akan dibincangkan.
"Perkara ini akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat SEDA dan satu dasar akan dikeluarkan nanti," katanya.
-- BERNAMA