Lebih 600 cef sertai pertandingan kulinari Malaysia

Bernama
Februari 21, 2023 19:18 MYT
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga, kanan) pada majlis pelancaran Malaysia Culinary World Cup 2023. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 600 cef tempatan dan antarabangsa menyertai Malaysia Culinary World Cup 2023 dalam cubaan meraih pengiktirafan daripada Guinness World Records sebagai pertandingan memasak secara serentak terbesar.
Acara yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia itu, turut menampilkan cef daripada pelbagai latar belakang termasuk kolej, suri rumah dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempamerkan bakat dan kreativiti masakan masing-masing.
Pengerusi dan Presiden Persatuan Kulinari Malaysia Bersatu Cef Arthur Lim berkata pertandingan masakan itu menampilkan sembilan kategori utama dan 62 subkategori dengan 40 daripadanya melibatkan masakan tempatan.
"Kategori ini termasuk 'Patisserie', Gastronomi Malaysia (21 hidangan Malaysia termasuk nasi lemak, nasi ayam, laksa, burger Malaysia, ulam, ikan sungai Malaysia), Masakan India, Masakan Cina, Masakan Panas Moden, Masakan Berasaskan Tumbuhan atau Vegetarian, 'Showmanship' (seperti teh tarik dan roti canai), Masakan Jepun, Masakan Artistik dan Cabaran Kotak Hitam Makanan Warisan Malaysia.
"Kategori ini akan dinilai oleh 92 cef tempatan dan antarabangsa termasuk cef selebriti tempatan, Cef Liza Zainol. Pada akhir pertandingan, Guinness World Records juga akan mengumumkan keputusannya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan ketika ditemui pada majlis pelancaran pertandingan itu, berkata acara tersebut mampu memperkenalkan makanan tempatan kepada cef antarabangsa dan mempromosikan gastronomi Malaysia dalam peta kulinari dunia.
-- BERNAMA
#Malaysia Culinary World Cup 2023 #pertandingan kulinari Malaysia #pertandingan memasak #cef tempatan dan antarabangsa
;