Lebih 60 semakan audit terhadap GISB, syarikat dan individu berkaitan - LHDN
Bernama
September 30, 2024 20:38 MYT
September 30, 2024 20:38 MYT
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menjalankan lebih 60 semakan audit terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), syarikat serta individu berkaitan dengannya, bagi tahun-tahun taksiran terdahulu.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemuanya telah dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi tahun taksiran yang diaudit.
"Kompaun dan penalti cukai yang dikenakan telah dibayar pembayar cukai tersebut.
"Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISB, syarikat serta individu berkaitan dijalankan secara berterusan sepertimana pembayar cukai lain. Tiada layanan istimewa diberikan kepada pembayar cukai tersebut," menurut kenyataan itu.
Menurut LHDN, berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengenai GISB tidak pernah membayar cukai, adalah merujuk kepada Tahun Taksiran (TT) terkini yang sedang disiasat pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut LHDN, kerjasama dengan PDRM adalah bertujuan melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi TT terkini.
"Tindakan pendakwaan dan penalti di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan," katanya.
LHDN memaklumkan usaha membanteras ketidakpatuhan cukai terus dilakukan oleh pihaknya agar dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara.
-- BERNAMA