Lebih 60 peratus kurikulum politeknik, kolej komuniti fokus bidang TVET

Bernama
September 26, 2023 04:45 MYT
Lebih 60 peratus kurikulum pembelajaran dan pengajaran di politeknik serta kolej komuniti seluruh negara akan memfokuskan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
TANJUNG MALIM: Lebih 60 peratus kurikulum pembelajaran dan pengajaran di politeknik serta kolej komuniti seluruh negara akan memfokuskan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Othman berkata, ia bagi memenuhi keperluan lebih 100,000 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan dalam bidang TVET untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, penetapan peratusan itu juga sebahagian daripada usaha menarik pelajar untuk terlibat secara langsung dalam bidang TVET kerana buat masa ini bidang berkenaan merupakan komponen yang menyumbang kepada kebolehpasaran tenaga kerja di Malaysia.
"Usaha lain termasuk menjalin kolaborasi antara politeknik dan kolej komuniti dengan pemain industri bagi memastikan pemerkasaan bidang TVET," katanya selepas merasmikan Ekspo Kerjaya Industri Politeknik (ExKIP) ke-11 di Politeknik Sultan Azlan Shah, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, jalinan strategik yang dirancang itu mampu memberi nilai tambah, meningkatkan potensi diri serta merangsang pelajar untuk terus berdaya saing.
Mengenai program ExKIP pula, Zainab berkata, ia merupakan platform yang disediakan bagi memberi ruang dan peluang kepada graduan politeknik mendapatkan pekerjaan khususnya dalam bidang TVET.
Menurutnya, penganjuran program itu juga bagi memenuhi hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) melalui kerjasama dengan industri terlibat dalam mengharungi perjalanan menerajui TVET negara.
"Saya percaya menerusi komitmen (ExKIP) seperti ini ditambah pula dengan nilai pembelajaran berterusan, politeknik akan terus mengorak langkah dan berjaya menempuhi cabaran semasa," katanya. - BERNAMA
#TVET #Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional #politeknik #kolej komuniti
;