Lebih 6,000 orang kunjungi rumah terbuka Aidilfitri Muhyiddin

Bernama
Jun 8, 2019 05:00 MYT
Muhyiddin bersama ahli keluarga pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Gambir bertempat di Dewan Muafakat Bukit Gambir, 8 Jun 2019. Foto Facebook @ts.muhyiddin
Kira-kira 6,000 penduduk sekitar Bukit Gambir di sini tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Muafakat, Bandar Baru Bukit Gambir dekat sini pada Sabtu.
Muhyiddin yang merupakan Anggota Parlimen Pagoh bersama Norainee meluangkan masa kira-kira lima jam bermesra dan berswafoto dengan para pengunjung.
Orang ramai yang ditemui menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mesra, perihatin dan sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.
Pekerja swasta, Saifudin Mat Hayan, 39 dari Taman Bandar Baru Bukit Gambir berkata sejak daripada dahulu Muhyiddin amat perihatin dengan keperluan rakyat walaupun pernah menjadi pemimpin nombor dua negara (timbalan perdana menteri).
"Walau sibuk dengan tugas sebagai menteri, Muhyiddin tidak pernah bersikap sombong sebaliknya mesra apabila disapa oleh rakyat," katanya kepada Bernama pada majlis itu.
Turut berkongsi pendapat yang sama, wartawan sebuah akhbar berbahasa cina, Lau Bee Kiau , 37 yang menyatakan rasa kagum beliau dengan personaliti Muhyiddin yang mesra dengan semua kaum.
"Beliau (Muhyiddin) tidak pernah bermasam muka apabila disapa oleh orang ramai dalam apa-apa majlis dan beliau sedia mendengar apa jua luahan rakyat," katanya.
Lau berkata beliau menghormati Muhyiddin dan berharap Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan terus diberi kesihatan untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.
Para rumah terbuka itu pengunjung disajikan pelbagai juadah seperi lemang, rendang daging, nasi beriani, cendol dan aneka kuih tradisional Melayu.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #Muhyiddin Yasin #Parlimen #Perdana Menteri #PPBM #presiden #rakyat #rumah terbuka #Timbalan Perdana Menteri
;