Lebih 6,000 dijangka lawat Pulau Pangkor sempena cuti panjang
Aida Aziz
Januari 21, 2023 10:45 MYT
Januari 21, 2023 10:45 MYT
LUMUT: Lebih 6,000 pelawat dari dalam dan luar Perak dijangka berkunjung ke Pulau Pangkor bagi mengisi masa terluang pada cuti sempena Tahun Baharu Cina.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria, ia juga didorong oleh keunikan fenomena air surut di Pantai Teluk Nipah, yang menjadi tarikan semula jadi buat pengunjung.
Katanya lagi, tempahan hotel dan penginapan di pulau peranginan itu juga mencatatkan peningkatan tinggi semasa cuti perayaan ini.
"Kehadiran pengunjung ini dapat melonjakkan ekonomi setempat terutama kemudahan yang dikendalikan oleh penduduk di sini.
"Peningkatan ini memberi keyakinan bahawa industri pelancongan khususnya Pulau Pangkor menerima pelancong sekali gus memberi impak positif kepada negeri amnya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pengunjung dinasihatkan supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sepanjang melakukan aktiviti riadah.
Ia khususnya kepada pengunjung ke Pantai Teluk Nipah bagi menikmati fenomena air surut.
"Air dijangka akan surut hingga orang ramai boleh berjalan kaki sejauh 400 meter ke Pulau Giam tidak lama lagi.
"Fenomena ini berlaku setiap tahun sebanyak dua kali tahun ini iaitu pada 21 hingga 25 Januari dan pada 19 hingga 22 Februari.
"Walaupun ia menjadi tumpuan tetapi berisiko kerana air pasang berlaku dengan cepat.
"Dinasihatkan supaya orang ramai peka pada keadaan serta mengikut nasihat daripada pihak keselamatan seperti bomba jika diarahkan naik ke pantai," katanya.
Tambahnya lagi, setakat ini Pulau Pangkor mempunyai kira-kira 47 penginapan berdaftar.
Katanya, kemudahan dan perkhidmatan ke lokasi tumpuan pengunjung itu juga sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan sejajar dengan jumlah pengunjung dari semasa ke semasa.