Lebih 6,000 anggota PDRM bertugas sempena OP Selamat ke-21 - Ketua Polis Negara

Pia Ernadya
Februari 8, 2024 11:30 MYT
Menurut Razarudin, lebih 6,000 anggota PDRM dikerahkan bertugas OP Selamat ke-21. - Gambar Astro AWANI
Petaling Jaya: Dalam usaha memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan lebih 6,000 anggotanya untuk bertugas sepanjang OP Selamat ke-21.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, operasi berkenaan bermula hari ini (Khamis) sehingga 13 Februari ini bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, operasi berkenaan merupakan kesinambungan operasi-operasi sebelum ini.
OP Selamat ke-21 ini merupakan OP bersepadu pihak polis berkuasa khusus semasa musim perayaan untuk mengoptimakan keselesaan kepada pengguna-pengguna di jalan raya dengan memantau lokasi kesesakan lalu lintas.
Sempena OP Selamat ke-21, PDRM turut melancarkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol 2.0 (VSP 2.0) yang bertujuan untuk menjadi mata dan telinga kepada PDRM untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah sepanjang OP ini berjalan.
#Op Selamat #Razarudin Husain #Tahun Baharu Cina #anggota PDRM
;