Lebih 53 peratus ditahan ingkar PKPP adalah pengunjung kelab malam - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
September 9, 2020 15:03 MYT
Lebih 53 peratus daripada 221 individu yang ditahan PDRM adalah pengunjung kelab malam. - Gambar hiasan
Lebih 53 peratus daripada 221 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Selasa (8 September) adalah terdiri daripada pengunjung kelab malam.
Antara lain kesalahan ingkar arahan PKPP adalah termasuk tidak mematuhi penjarakan fizikal (43 individ), gagal menyediakan peralatan keluar masuk (34 individu), tidak memakai pelitup muka (18 individu), gagal mematuhi perintah kuarantin (seorang), premis beroperasi lebih masa (lima individu), serta tangkapan
pendatang asing tanpa izin (PATI), dua individu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam usaha mengekang kemasukan PATI pula, PDRM melakukan 24 tangkapan melibatkan 26 PATI dan lima tekong.
"Daripada jumlah itu, 26 PATI ditahan di bandar Penawar, Johor atas kesalahan imigresen sementara 12 PATI lagi ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, PDRM melalui sekatan jalan raya Op Benteng memeriksa 24,972 kenderaan dan melakukan 11 tangkapan.
"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memeriksa 1,582 premis pada Selasa mengeluarkan notis amaran kepada dua premis yang gagal mematuhi SOP manakala 14 premis lagi diberi nasihat.
Katanya, menerusi Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu, sebanyak 9,883 operasi sanitasi merangkumi 134 zon dilakukan.
Jelasnya, 12,973 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, bangunan kerajaan (5,708), kawasan perumahan termasuk PPR (1,596), tempat awam ( 2,607) dan 354 pasar raya.
"Semalam (8 September 2020), sebanyak sembilan operasi sanitasi meliputi enam zon hijau melibatkan empat buah negeri termasuk Pulau Pinang (empat operasi), Sabah (dua operasi), Melaka (dua operasi), dan Johor (satu operasi) telah dilakukan," tambahnya lagi.
#COVID-19 #Imigresen #ismail sabri yaakob #kerajaan #keselamatan #kesihatan #pandemik #pati #PDRM #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #SOP
;