Lebih 500 pesawat Perang Dunia Kedua dipercayai terhempas di Malaysia
Bernama
September 10, 2015 08:15 MYT
September 10, 2015 08:15 MYT
Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan percaya lebih 500 pesawat yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua terhempas di negara ini.
Ketua Penyelidik Muzium Tentera Darat, Kapten Muhd Zuraiman Abdul Ghani berkata pesawat pelbagai jenis itu adalah milik beberapa negara seperti Britain, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia dan Jepun.
Beliau berkata pihaknya mendaftar sebanyak 10 pesawat kargo Dakota yang terhempas di negara ini.
"Daripada 10 pesawat kargo Dakota yang didaftar, enam pesawat milik Tentera Udara Diraja (RAF) British, dua kepunyaan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), satu dari Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) manakala sebuah lagi milik awam," katanya kepada pemberita di tapak nahas pesawat Dakota Bravo C47B milik Amerika Syarikat di Gunung Bubu, di sini pada Selasa.
Muhd Zuraiman berkata daripada 10 pesawat Dakota yang terhempas itu, hanya satu kes berjaya diselesaikan, setakat ini.
"Misi ekskavasi pertama yang berjaya diselesaikan ialah operasi mengeluarkan pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) milik Tentera Udara Diraja British di Gua Musang, Kelantan pada 2008 dan ia telah diserahkan dengan upacara penghormatan ketenteraan kepada kerajaan Britain pada 2012," katanya.
Beliau berkata misi kedua Muzium Tentera Darat adalah Ops Gangga yang dilaksanakan di sini, bagi membawa keluar rangka manusia dan bangkai pesawat Dakota Bravo C47B, yang dijangka selesai pada November ini.
Sebanyak 110 petugas terdiri daripada anggota tentera Malaysia, 'Defense POW/MIA Accounting Agency (DPAA)' yang dibentuk oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan agensi berkaitan terlibat dalam misi Ops Gangga bagi mengeluarkan bangkai pesawat berkenaan yang terhempas di Gunung Bubu pada 27 Nov 1945.
Mengulas mengenai Ops Gangga, Muhd Zuraiman yang juga pegawai penyiasat operasi berkenaan, berkata pihaknya akan berusaha membawa keluar sebanyak mungkin bangkai pesawat itu untuk dibuat kajian serta siasatan.
"Setelah selesai siasatan, pesawat berkenaan akan ditempatkan di Muzium Tentera Darat. Selain itu kerajaan Perak juga ada membuat permohonan untuk menempatkan sebahagian pesawat di Muzium Perak," katanya.