Lebih 500 pelajar dan warga SMK Peter Mojuntin panik, blok asrama terbakar
Ruzaini Zulkepli
Mac 5, 2018 11:08 MYT
Mac 5, 2018 11:08 MYT
Lebih 500 pelajar dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peter Mojuntin panik selepas sebuah blok asrama sekolah itu musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.25 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.33 pagi sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi memadam dan menyelamat.
"Kita terima panggilan pada jam 7.33 pagi dan empat buah jentera dengan kekuatan 56 orang keanggotaan yang terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Kota Kinabalu dan Lintas bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran itu melibatkan tingkat atas blok asrama dua tingkat sahaja," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah; Datuk Dr Mohd Kassim Ibrahim ketika ditemui berkata, seramai 117 penghuni asrama lelaki terbabit sudah dipindahkan ke blok bangunan lain di sekolah terbabit.
"Kita ada pelan alternatif untuk menempatkan mangsa di satu bangunan, sekarang kita sedang berurusan dengan Kementerian Pendidikan.
"Kami memang sedih dengan kejadian yang berlaku dan sekarang dalam proses siasatan pihak bomba apa sebab kebakaran ini berlaku," katanya.
Operasi memadamkan kebakaran itu berjaya ditamatkan jam 9.02 pagi tadi dan sesi persekolahan turut ditangguhkan serta semua pelajar sekolah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
#BBP Penampang
#Datuk Dr Mohd Kassim Ibrahim
#Hamsa Isnurdini
#kebakaran
#Kota Kinabalu
#Lintas
#Penampang
#SMK Peter Mojuntin