Lebih 500 jemaah haji Malaysia masuki Mekah esok
Bernama
Mei 25, 2023 19:55 MYT
Mei 25, 2023 19:55 MYT
MEKAH: Seramai 565 jemaah haji daripada kumpulan awal penerbangan musim 1444 Hijrah yang tiba di Madinah pada Ahad lepas akan memasuki Mekah, esok (26 Mei).
Pengarah Operasi Maktab Mohd Sawal Abong berkata pihaknya telah bersedia sepenuhnya menyambut ketibaan jemaah haji berkenaan yang akan ditempatkan di bangunan Abraj Al-Janadriyyah, ibu pejabat Tabung Haji (TH) di sini.
"Kita akan uruskan bagasi mereka yang akan masuk ke tempat penginapan hari ini, sebab bagasi akan dihantar sehari awal sebelum jemaah tiba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya sebaik tiba, jemaah haji akan dibawa ke bilik penginapan masing-masing dan berehat sebentar sebelum ke Masjidil Haram untuk melakukan umrah dengan dibantu dua Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas).
Mohd Sawal berkata secara keseluruhan, terdapat sembilan maktab penginapan TH yang berada tidak lebih 1,000 meter dari Masjidil Haram dengan 12 anggota ditugaskan di setiap maktab.
"Pejabat operasi maktab akan menguruskan segala aktiviti-aktiviti jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci termasuk menjaga kebajikan serta keselamatan, memberikan panduan ibadat haji serta aktiviti ziarah," katanya.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan akan mengurus kemasukan lebih 1,200 jemaah haji sehari pada waktu-waktu puncak.
Menurutnya setiap penginapan mempunyai kemudahan seperti klinik, perkhidmatan pos bagasi selain bimbingan ibadat.
Sementara itu, Mohd Sawal berkata pejabat operasi maktab juga akan memegang pasport jemaah haji untuk memudahkan urusan penerbangan pulang jemaah ke Malaysia.
-- BERNAMA