Lebih 500 individu daftar sebagai sukarelawan vaksinasi fasa percubaan di HUS

Lynch Cowan
Januari 18, 2021 14:38 MYT
KUCHING: Lebih daripada 500 sukarelawan telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam percubaan vaksin COVID-19 di Sarawak.
Menurut, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing, mereka yang telah mendaftar untuk percubaan vaksinasi tersebut akan diberikan penerangan lebih terperinici tentang fasa percubaan itu terlebih dahulu.
“Setakat ini hanya senarai itu (500 orang) yang kita dapat dan berminat untuk mengambil bahagian dalam percubaan tersebut.
“Tetapi tidak semua mereka akan dipilih untuk menjalani percubaan berkenaan kerana prosesnya kita akan ketahui selepas memberikan penerangan,” ujar beliau ketika dihubungi Astro Awani hari ini.
Tambahnya, keputusan untuk setuju ataupun tidak dalam fasa tersebut akan ditentukan oleh mereka sendiri selepas sesi penerangan dijalankan kerana ia adalah satu proses percubaan yang panjang.
Percubaan vaksinasi akan dimulakan pada pertengahan Januari ini sebahagian daripada usaha negara untuk membasmi virus COVID-19.
#percubaan vaksinasi #Sarawak #Jabatan Kesihatan Sarawak #sukarelawan vaksinasi #Dr Chin Zin Hing
;