Lebih 500,000 nahas jalan raya direkod di Malaysia sehingga Oktober

Bernama
November 17, 2024 14:00 MYT
Penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu diperkukuh secara berkesan dan berterusan di setiap peringkat lapisan masyarakat. - Gambar fail
MELAKA: Sebanyak 532,125 nahas jalan raya direkodkan sejak Januari hingga Oktober lepas, dengan 5,364 daripadanya melibatkan kemalangan maut, dan 68 peratus daripada kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu diperkukuh secara berkesan dan berterusan di setiap peringkat lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan penunggang serta pembonceng motosikal.
"Justeru Klinik Penunggangan Selamat adalah satu pengisian Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2024 (WDOR 2024).
"Ia dilihat dapat memberi manfaat kepada pengguna motosikal berkaitan pengetahuan tentang peraturan lalu lintas, meningkatkan kesedaran dan kemahiran keselamatan penunggangan motosikal dalam pelbagai situasi untuk bertindak dengan cepat dan tepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya WDOR 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Ayer Molek di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Jazmanie Shafawi.
-- BERNAMA
#kemalangan maut #Malaysia #statistik kemalangan #Kementerian Pengangkutan
;