Lebih 50 seniman bergabung dalam pameran seni Colours For Gaza
Astro Awani
November 3, 2023 23:54 MYT
November 3, 2023 23:54 MYT
ATAS dasar prihatin dan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin terutama di Gaza, lebih 50 seniman tempatan bergabung dalam satu pameran seni.
Pameran seni 'Colours For Gaza' merupakan tanda kebersamaan seniman Malaysia mengutuk kekejaman rejim Zionis di Gaza.
Pengarah Galeri Puteh Mohd Nizam Rahmat berkata pameran yang julung kali diadakan itu bertujuan mengumpulkan dana bantuan kemanusiaan khusus untuk rakyat Palestin, selain menyampaikan mesej dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Israel.
Mohd Nizam berkata, 'Colours For Gaza' akan berlangsung di Galeri Puteh, KL Eco City Mall, pada 14 hingga 21 Nov ini.
"Pameran ini juga bertujuan mencipta ruang dialog dan pemahaman antara masyarakat melalui seni dan warna sebagai medium untuk berkomunikasi.
"Seniman mempunyai peranan yang kuat dalam membentuk persepsi dan emosi. Ini kerana, setiap karya seni menyampaikan pesanan dan emosi, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan golongan itu kepada usaha kemanusiaan di Palestin.
"Kami sedang menantikan pengesahan dari seorang seniman ternama untuk turut sama menyertai pameran solidariti untuk Gaza ini. Selain itu kami juga menantikan penajaan yang besar selaku penganjur bersama pameran ini," katanya pada Jumaat.
Menurutnya, lebih 50 artis dari seluruh negara membabitkan pelukis, pemuisi dan artis akan terlibat dalam pameran ini antaranya Abdul Mansoor Ibrahim, Tajuddin Ismail, Ahmad Fuad Osman, Bayu Utomo Radjikin, Abu Bakar Idris, Juhari Said, Faizal Suhif, Jalaini Abu Hassan, Fauzul Yusri, Suzlee Ibrahim, Ramlan Abdullah, Rafiee Ghani, Kide Baharudin, Ika Sharom, Stephen Menon, Samsuddin Wahab, Hamir Soib, Faisal Tehrani, Amar Idris dan Intan Rafiza.
Mohd Nizam berkata 40 peratus daripada hasil penjualan karya seni dan penajaan akan disumbangkan kepada tabung bantuan Palestin, menerusi kerjasama dengan badan kemanusiaan yang sah dan akan dipilih kelak.
"Adalah penting untuk kami memilih saluran yang sesuai bagi memastikan bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukannya. Usaha ini sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan serta penderitaan ditanggung oleh rakyat Palestin ketika ini.
"Walaupun ia dirancang dalam waktu yang singkat, kami berharap dapat mengumpul dana sehingga RM100,000. Kami memerlukan sokongan padu daripada semua pihak untuk sama-sama menjayakan pameran ini," katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Pameran Seni 'Colours of Gaza', boleh melayari media sosial Galeri Puteh di Instagram dan Facebook.
Untuk 'Colour For Gaza' ini, Galeri Puteh telah memilih senimalaya.com, sebuah platform seni sebagai rakan media.