Lebih 50 rumah percuma untuk veteran ATM dibina tahun depan - Adly

Bernama
Disember 7, 2023 20:13 MYT
Adly berkata jumlah itu merupakan tambahan kepada 44 rumah yang telah dan sedang dibina di seluruh negara dengan melibatkan peruntukan tambahan RM1 juta. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lebih 50 rumah percuma untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen dan tidak berpencen dijangka dibina tahun depan menerusi program Inisiatif Rumah Peduli Veteran.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata jumlah itu merupakan tambahan kepada 44 rumah yang telah dan sedang dibina di seluruh negara dengan melibatkan peruntukan tambahan RM1 juta.
"Sehingga kini 80 peratus daripada 44 rumah veteran itu telah siap dibina dan kunci unit berkenaan telah diserahkan kepada pemilik di seluruh negara, dengan kos pembinaan setiap unit dianggarkan RM85,000," katanya.
Adly berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu untuk Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bagi Kementerian Pertahanan di Bernama Radio di sini, hari ini.
Mengenai Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Bukit Jalil, Adly berkata Kementerian Pertahanan akan mempamerkan sebahagian aset-aset tentera selain menayangkan filem bertajuk Misi Bakara.
"Selain itu, terdapat juga reruai-reruai kerjaya di bawah Kementerian Pertahanan yang menyediakan peluang pekerjaan dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat serta bidang siber," katanya.
-- BERNAMA
#VETERAN ATM #peruntukan tambahan #misi Bakara #peluang pekerjaan
;