Lebih 50 rumah musnah dijilat api dalam kebakaran di Putatan

Ruzaini Zulkepli, Fifi Harteeny Marzuki
Januari 11, 2019 18:36 MYT
Kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, Putatan, petang ini.
Lebih 50 buah rumah dan separa kayu dianggarkan musnah dalam kebakaran yang berlaku Kampung Pasir Putih, Putatan, hari ini.
Dalam kejadian berlaku kira-kira 12.50 tengah hari, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Haris Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat awal seramai 60 buah keluarga terjejas ekoran kebakaran itu dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketika dihubungi Astro AWANI petang tadi, katanya kerja-kerja menguruskan mangsa yang terlibat masih giat dijalankan di mana kesemua keluarga tersebut kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Putatan dan Dewan Mini Putatan.
Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kejadian itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya sedang mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mana-mana individu yang terlibat dalam kejadian.
"Sekarang ni kita kenal pasti dulu semua mangsa... kita daftar mangsa-mangsa seberapa banyak yang terlibat, beberapa buah rumah dulu kita ambil dulu dan bomba akan buat perincian dan kita akan fikirkan mengenai bantuan yang diperlukan untuk membantu mangsa-mangsa.
"Tekanan air mungkin rendah tapi untuk menampung kebakaran macam ni memang tidak mudah, lagi-lagi angin kuat, menambahkan lagi keadaan dan tidak boleh diselamatkan lagi," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat seperti JBPM, polis dan masyarakat setempat yang banyak membantu mangsa kebakaran.
Dalam pada itu, sebanyak enam jentera dengan kekuatan seramai 40 anggota JBPM Sabah diketuai oleh Ketua Zon Kota Kinabalu, Hamsa Isnurdini berada di lokasi bagi operasi pemadaman yang mengambil tempoh tiga jam sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Hasil tinjauan Astro AWANI di lokasi berkenaan setakat jam 5 petang hari ini mendapati, pihak petugas yang terlibat masih giat menjalankan kerja-kerja memindahkan mangsa kebakaran di dua PPS tersebut.
#Dewan Mini Putatan #Dewan Serbaguna Putatan #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kampung Pasir Putih #kebakaran #Putatan #rumah setinggan
;