Lebih 50 peratus nelayan selatan Pulau Pinang tandatangani SIMP - PenMutiara

Bernama
Februari 18, 2024 04:30 MYT
Zakaria berkata nelayan di Unit Teluk Tempoyak tidak menandatangani SIMP itu kerana tidak berpuas hati dan membantah dengan tawaran yang diberikan iaitu pakej ex-gratia tahap 2. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Lebih 50 peratus nelayan di kawasan selatan Pulau Pinang telah menandatangani Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) susulan pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).
Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) Zakaria Ismail berkata kebanyakan mereka yang menandatangani SIMP itu merupakan nelayan separuh masa dan sudah berusia.
"Alasan mereka untuk menerima sagu hati yang ditawarkan adalah (mereka) tak larat untuk menangkap ikan di lokasi yang lebih jauh.
"Hanya lebih kurang 100 nelayan yang masih bertahan tidak menerima setakat ini (menandatangani SIMP), mereka dari Unit Nelayan Sungai Batu dan Teluk Tempoyak," katanya ketika dihubungi semalam.
Media sebelum ini melaporkan, ramai nelayan mula menandatangani tawaran SIMP selepas menyedari tiada jalan penyelesaian walaupun pelbagai diusahakan dilakukan dan mereka juga tiada jalan lain berikutan kerja tapak sudah bermula pada 1 Sept tahun lepas.
Zakaria berkata nelayan di Unit Teluk Tempoyak tidak menandatangani SIMP itu kerana tidak berpuas hati dan membantah dengan tawaran yang diberikan iaitu pakej ex-gratia tahap 2.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak berkenaan bagi membolehkan nelayan Unit Teluk Tempoyak turut menerima ex-gratia tahap 1 seperti yang disyorkan oleh kerajaan negeri.
"Sebahagian nelayan di Teluk Tempoyak menerima kesan projek berkenaan sama seperti nelayan Unit Sungai Batu dan apabila mereka (nelayan Teluk Tempoyak) ditawarkan dengan pakej ex-gratia tahap 2, sudah tentu mereka tidak mahu kerana mereka menerima kesan yang sama seperti nelayan di Sungai Batu sedangkan di Sungai Batu, mereka ditawarkan dengan tahap satu," katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan cadangan SIMP merangkumi pakej pemberian ex-gratia dan program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan serta skim perumahan.
Nelayan yang menerima manfaat berkenaan terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap 1 ialah mereka dari kawasan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul manakala tahap 2 dari Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong.
Tekong dan awak-awak dari unit tahap 1 masing-masing menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi tahap 2, akan menerima RM13,200 dan RM5,400, manakala tekong tahap 1 juga akan ditawarkan bot sepanjang 8.2 meter dan enjin berkuasa kuda 60 atau 75.
-- BERNAMA
#nelayan selatan Pulau Pinang #PenMutiara #psi #SIMP
;