Lebih 50 peratus kesalahan ingkar PKPP semalam libat pengunjung pusat hiburan

Umavathi Ramayah
November 29, 2020 17:57 MYT
Lebih 51 peratus yang ditahan melibatkan pengunjung pusat hiburan iaitu seramai 331 individu. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 648 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu, dengan kumpulan terbesar melibatkan pengunjung pusat hiburan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 54 orang direman sementara 594 lagi dikompaun.
"Lebih 51 peratus yang ditahan melibatkan pengunjung pusat hiburan iaitu 331 individu.
"Antara kesalahan lain adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal iaitu seramai 102 individu, tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60) manakala 26 lagi ditahan atas lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Tambah Ismail Sabri, pasukan pematuhan juga membuat pemantauan di 3,281 pasar raya, restoran (4,316), penjaja (1,302), kilang (1,097), bank (3,047) dan 410 pejabat kerajaan.
"Juga dipantau, sebanyak 878 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (228) serta 84 terminal pengangkutan udara," katanya.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 25 operasi sanitasi meliputi empat zon merah, empat zon kuning dan dua zon hijau dilakukan.
"Ia melibatkan Melaka (10 operasi), Selangor (empat operasi), Johor (tiga operasi), Pahang (dua operasi), Kuala Lumpur (empat operasi) dan maisng-masing satu operasi di Negeri Sembilan dan Labuan," tambahnya.
#Kementerian Pertahanan #ismail sabri yaakob #PKPP #PKPB #operasi sanitasi #SOP #pergerakan rentas negeri #pusat hiburan #larangan #berdegil
;