Lebih 50 peratus air hilang sebelum sampai ke pelanggan - AKSB

Astro Awani
Januari 30, 2021 13:27 MYT
Kata Dr Azuhan, tidak tepat untuk mengatakan gangguan bekalan air menyebabkan penduduk kembali menggunakan perigi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus air yang dikeluarkan loji Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) hilang dalam perjalanan ke pelanggan mereka di negeri itu.
Pengurus Besar AKSB, Datuk Dr Azuhan Mohamed menjelaskan, ia disebabkan keadaan infrastruktur iaitu paip yang lama dan telah berusia sekali gus menyebabkannya mulai bocor.
"Kekangan utama yang saya hadapi ketika ini infrastruktur di Kelantan ini sudah sekian lama.
"Satu, telaga yang telah berusia dan bilangan telaga yang rosak semakin bertambah.
"Kedua, paip yang berusia dan berkualiti rendah telah menyebabkabkan kehilangan air yang tinggi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
BACA: Gangguan bekalan air libatkan 32,018 akaun di Kelantan
TONTON: Isu air Kelantan: Rakyat bergantung kepada sumber air bawah tanah
AKSB sebelum ini memaklumkan, sebanyak 32,018 akaun akan mengalami gangguan bekalan air melibatkan beberapa kawasan merangkumi empat jajahan bermula 22 sehingga 30 Januari.
Daerah terlibat ialah Machang yang membabitkan 16,000 akaun, Pasir Puteh (9,539), Kota Bharu Selatan (5,979) dan Kota Bharu Timur (500).
Dalam pada itu kata Dr Azuhan, tidak tepat untuk mengatakan gangguan bekalan air menyebabkan penduduk kembali menggunakan perigi.
Jelasnya, pengunaan telaga atau perigi di rumah penduduk di Kelantan adalah perkara biasa.
"Perigi itu kalau kita lihat mungkin digunakan sewaktu ada gangguan bekalan air dan saya difahamkan juga ramai rakyat Kelantan juga tidak menjadi pelanggan AKSB kerana mereka mempunyai perigi sendiri di kawasan rumah masing-masing.
"Jadi sebenarnya rakyat Kelantan tidak perlu rasa susah hati dan tidak perlu rasa kecewa kerana air tidak dapat dipulihkan kerana kerajaan negeri ketika ini sedang bertungkus lumus untuk pulihkan perkhidmatan bekalan air dalam masa terdekat," ujarnya.
Jelasnya, perkhidmatan membaik pulih akan berlaku seawal Mei atau Jun 2021 melibatkan kawasan Kota Bharu, Bachok dan Kuala Krai.
#AKSB #perigi #Infrastruktur #air #Kota Bharu
;