Lebih 50 penduduk dipindahkan dalam insiden tanah runtuh di Pasir Mas
Vivi Sumanti
Februari 17, 2021 10:29 MYT
Februari 17, 2021 10:29 MYT
PASIR MAS: Sekurang-kurangnya 50 penduduk daripada 15 keluarga di Kampung Pohon Celagi, di sini dipindahkan susulan kejadian runtuhan tebing yang turut memusnahkan beberapa rumah awal pagi Rabu.
Menurut saksi, pergerakan tanah dikesan jam 2.30 pagi ini dan runtuhan mulai berlaku pada jam 5.30 pagi dengan dua buah rumah runtuh bersama tanah.
Penduduk mula dikeluarkan dari kawasan itu pada jam 5.30 pagi dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.
Menurut Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan kerana penduduk telah diarahkan berpindah sekitar jam 5.30 pagi tadi.
Katanya, bancian tepat jumlah penghuni dan juga keluarga belum lagi dilakukan namun dianggarkan sekitar 20 keluarga yang terjejas.
Rakaman video saksi turut memaparkan sebuah rumah yang musnah apabila terhumban ke dalam jurang yang dipercayai sekitar 100 meter itu.
Siasatan awal mendapati runtuhan berpunca daripada terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan dengan anggaran kawasan sekitar 300 meter persegi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan sejak dua hari lalu sebelum ia semakin ketara mulai malam tadi.
"Susulan itu kita sudah mengambil langkah awal dengan menutup jalan di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Runtuhan mula berlaku mulai 2.30 pagi hingga 6.30 pagi dan sehingga kini masih berlaku pergerakan tanah menyebabkan semua penduduk diminta berpindah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
#Pasir Mas
#PPS
#tanah runtuh
#tebing runtuh
#Kampung Pohon Celagi
#rumah musnah
#Mohamad Roy Suhaimi Sarif
#rekahan
#tutup jalan
#pergerakan tanah
#hanifa ahmad
#pindah