Lebih 50 pelajar UM berpiket gesa mansuh 'zero balance policy'
Umavathi Ramayah
September 23, 2023 17:21 MYT
September 23, 2023 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 50 pelajar Universiti Malaya (UM) termasuk 13 wakil persatuan hari ini berpiket menggesa universiti itu memansuhkan polisi baki sifar atau zero balance policy yang mensyaratkan setiap pelajar untuk menjelaskan yuran penuh terlebih dulu sebelum dibenarkan mendaftar kursus.
Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Nazirah Abdullah berkata, piket berkenaan dilakukan selepas tuntutan mereka sebelum ini didakwa tidak diendahkan pihak pengurusan universiti.
Menurutnya, meskipun dasar berkenaan bertujuan untuk mengumpul hutang pelajar yang tertunggak namun dakwanya dasar itu dilihat menindas hak pelajar, tidak adil dan perlu dihapuskan serta-merta.
"Dua kali kami berjumpa dengan pihak pentadbiran untuk mendapatkan reaksi namun tiada sebarang penjelasan jelas diberikan.
"Kali kedua kami berjumpa dengan pihak Naib Canselor, Bendahari dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) untuk sekurang-kurangnya menangguhkan pelaksanaan polisi itu namun mereka masih berkeras dan meminta kita untuk mendapatkan bancian data pelajar dalam masa dua hari yang jelas tidak logik," katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Perdanasiswa UM di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu Nur Nazirah turut menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penindasan.
Dakwanya, pada hari pertama pendaftaran pelajar dibenarkan untuk mengaktifkan status mereka, namun pada hari esoknya pelajar dikatakan disekat daripada berbuat demikian.
Tambahnya, beliau turut membangkitkan ketelusan data yang dimaklumkan UM bahawa kurang daripada empat peratus pelajar yang terkesan susulan dasar baharu itu.
"Kami dari pihak KMUM telah mempersoalkan pihak pentadbiran mengenai empat peratus pelajar yang terkesan, tapi mereka sendiri mengakui tiada data berkenaan.
"Jadi persoalannya, bagamana data empat peratus itu diperolehi?" soalnya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal memberi jaminan bahawa akan meneliti isu dakwaan polisi baki sifar itu.
Beliau memberitahu, pihaknya mempunyai kaedah terbaik yang dipraktikkan selama ini dalam membantu pelajar mengikuti pengajian di universiti.