Lebih 50 pelajar politeknik sakit perut selepas makan ayam masak merah

Astro Awani
Julai 24, 2019 23:39 MYT
Penuntut Politeknik Balik Pulau mendapatkan rawatan kerana mengalami sakit perut dipercayai akibat keracunan makanan. Astro AWANIl untuk menerima rawatan. - Gambar hiasan
Lima puluh pelajar Politeknik Balik Pulau dikejarkan ke Hospital Balik Pulau hari ini, dipercayai akibat keracunan makanan.
Kesemua mangsa dipercayai mengalami keracunan sejak jam 4 petang Rabu selepas menghadiri program taklimat mengundi anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di institut terbabit.
Program itu disertai 207 pelajar semester satu, bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Difahamkan, pelajar dihidangkan dengan jamuan menu nasi ayam merah, telur dan sayur kubis pada jam 11 pagi.
Bagaimanapun, puluhan penuntut berkenaan mula mengadu sakit perut bermula jam 4 petang sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Kesemua pelajar ditemani pensyarah untuk menerima rawatan secara berperingkat.
Sehingga jam 10 malam ini, lebih 50 pelajar telah dibawa ke hospital dengan masih ada yang menerima rawatan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail yang turut berada di hospital memaklumkan, semua 57 pelajar yang mengalami keracunan itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan malam ini.
Katanya, semua pelajar berkenaan dirawat di zon hijau dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana keadaan mereka sudah semakin pulih dengan sebahagiannya sudah dibenarkan pulang ke pusat pengajian.
Tambahnya, Timbalan Pengarah Akademik bersama kakitangan politeknik turut berada bersama pelajar itu sepanjang mereka menerima rawatan.
#ADUN Pulau Betong #ayam masak merah #Hospital #keracunan #mangsa #Mohd Tuah Ismail #pelajar #pensyarah #Politeknik Balik Pulau #rawatan #Sakit perut #stabil #zon hijau
;