Lebih 50,000 peluang pekerjaan ditawarkan HPC

Ehsan A Marisah
April 6, 2021 21:02 MYT
Gimik perasmian pelancaran HRDF Placement Centre (HPC) yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR: Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan HRDF Placement Centre (HPC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Menerusi HPC, lebih 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan disasar untuk disediakan kepada rakyat Malaysia.
Portal sehenti dalam talian itu akan memadankan majikan daripada pelbagai industri dan sektor dengan calon pekerja untuk mengisi kekosongan jawatan dengan segera selain menawarkan peluang latihan serta peningkatan kemahiran.
Ia juga menghubungkan barisan jurulatih dan pelatih daripada pelbagai latar belakang bagi mendapatkan bimbingan dan nasihat kerjaya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, portal tersebut merupakan inisiatif kementeriannya untuk menangani isu pengangguran dihadapi negara akibat COVID-19.
“Sebelum HPC dilancarkan lagi, PSMB telah menjalinkan kerjasama dengan lebih 20 majikan, persatuan serta rakan strategik kerjaya dan hampir 20,000 pekerjaan boleh diakses.
“HPC juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan peluang bagi menjalinkan kerjasama dengan pihak berkenaan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ketua Eksekutif HRDF, Datuk Shahul Hameed berkata, pihaknya berbangga dapat mengumpulkan rakan strategik, majikan, penyedia latihan dan jurulatih kerjaya dalam satu platform.
“Platform ini akan jauh berbeza daripada semua laman iklan pekerjaan di negara ini kerana penekanannya tertumpu kepada peningkatan peribadi pemohon melalui perancangan, bimbingan kerjaya, pemadan pekerjaan dan kauseling.
“Saya yakin ini adalah asas yang dapat membantu kita membawa kembali ekonomi Malaysia ke landasannya,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan HPC, sektor awam dan swasta dapat disatukan di bawah sebuah institusi.
“Portal ini akan melengkapkan dan menyokong Majlis Pekerjaan Negara (NEC) untuk mencapai objektifnya pada akhir tahun ini dan membantu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia termasuk pasaran buruh negara," katanya.
Sehingga ini, lebih 200 calon telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui HPC. Mereka yang ingin mengakses pelbagai perkhidmatan tersebut, boleh melayari hpc.hrdf.com.my.
#HPC #HRDF #PSMB #Pembangunan Sumber Manusia Berhad #Kementerian Sumber Manusia #HRDF Placement Centre #pekerjaan #M Saravanan #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
;