Lebih 50,000 meriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Sinar Harian
Ogos 31, 2024 13:30 MYT
Orang ramai hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab. -Sinar Harian
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Sabtu.

Ringkasan AI
  • Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama Raja Permaisuri Perak dan keluarga diraja, menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2024 di Ipoh.
  • Sambutan dimulakan dengan perarakan kawalan kehormatan utama oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja, diikuti dengan Lafaz Ikrar Hari Kebangsaan oleh pelajar dan persembahan koir dari dua sekolah.
  • Perarakan melibatkan 71 kontinjen dengan lebih 6,000 peserta dari pelbagai agensi dan organisasi, disaksikan oleh kira-kira 50,000 rakyat yang menunjukkan semangat patriotik.

Keberangkatan baginda ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama dua anakanda, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya pada jam 8.15 pagi.
Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.
Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin dan barisan exco kerajaan negeri.
Sambutan bermula dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Division dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.
Acara sambutan diteruskan dengan Lafaz Ikrar Hari Kebangsaan oleh 20 orang pelajar terdiri daripada Kolej Pra Tingkatan 6 Sri Putera, Ipoh diketuai Muhammad Ammar Saifullah Shaharuddin.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir gabungan dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet Ipoh dengan nyanyian tiga buah lagu iaitu Madani Jiwa Merdeka, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.
Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 71 kontinjen yang disertai lebih 6,000 peserta terdiri pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Antara kontinjen yang menyertai perbarisan adalah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk perarakan aset-aset jabatan.
Kira-kira 50,000 rakyat terdiri daripada masyarakat berbilang kaum memeriahkan sambutan dengan menunjukkan semangat patriotik. -Sinar Harian
#Hari Kebangsaan #Jalur Gemilang #Majlis Bandaraya Ipoh #Saarani Mohamad