Lebih 5.5 juta ketibaan pelancong asing ke Malaysia setakat September - Zainuddin

Ehsan A Marisah
November 12, 2022 16:11 MYT
Majlis makan malam Lawatan Ekspresi Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Sarawak, pada Sabtu. - Astro AWANI
KUCHING: Jumlah ketibaan pelancong asing ke negara ini mencatatkan lebih 5.5 juta setakat September, menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia (TM) Datuk Zainuddin Abdul Wahab.
Beliau berkata, jumlah itu dilihat sudah menghampiri sasaran ketibaan pelancong asing yang telah ditetapkan pihaknya untuk mengunjungi negara pada tahun ini.
"Untuk tahun 2022, kita menyasarkan kunjungan sebanyak 9.2 juta pelancong asing dan Insya-Allah melalui kerjasama semua pihak sasaran untuk tahun ini akan tercapai.
"Setakat ini semua masih dalam sasaran dan mengikut data yang diperoleh sehingga September, kami telah mencapai lebih daripada 5.5 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam Lawatan Ekspresi Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Sarawak, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Zainuddin menambah, pihaknya juga akan terus giat mempromosikan produk-produk domestik termasuk mengadakan kerjasama bersama media tempatan dan pempengaruh.
"Kami akan terus bekerjasama dengan media tempatan dan pempengaruh melalui saluran masing-masing untuk memberi pendedahan dan maklumat terkini tentang produk serta tarikan yang boleh dinikmati pelancong ketika mengunjungi mana-mana destinasi dalam negara," katanya lagi.
#Tourism Malaysia #Zainuddin Abdul Wahab #Pelancong asing #sektor pelancongan