Lebih 470,000 individu carum SKSSR setakat September - Sim

Bernama
Oktober 15, 2024 05:40 MYT
Sim berkata fleksibiliti dalam kaedah pembayaran caruman yang boleh dibuat sama ada oleh suami, suri rumah sendiri, ahli keluarga atau pihak ketiga dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada kejayaan SKSSR. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 474,982 individu telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 30 Sept tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata jumlah berkenaan mencecah 95 peratus daripada 500,000 yang disasarkan untuk mendaftar SKSSR tahun ini.
Sim berkata fleksibiliti dalam kaedah pembayaran caruman yang boleh dibuat sama ada oleh suami, suri rumah sendiri, ahli keluarga atau pihak ketiga dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada kejayaan skim berkenaan.
"Prestasi pencapaian yang mencerminkan tekad kerajaan untuk menyebarluaskan perlindungan keselamatan sosial supaya turut mencakupi sektor ekonomi ihsan itu, sekali gus memberi keyakinan bahawa sasaran pencarum SKSSR dapat dicapai menjelang akhir tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) PERKESO 2024 di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
SKSSR adalah jaringan keselamatan sosial yang diwarta dan ditawarkan sejak Disember 2022 untuk wanita dalam sektor ekonomi ihsan yang menyediakan dua bentuk perlindungan utama iaitu Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan dengan kadar caruman berpatutan RM10 sebulan.
Sementara itu, PERKESO memaklumkan pihaknya menerima dana tambahan RM86.2 juta bagi menyediakan geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi inisiatif SPS Madani dan SPS Padanan Caruman.
Permohonan untuk SPS MADANI dan SPS Padanan Caruman dibuka hingga 31 Dis ini kepada individu daripada 20 sektor pekerjaan sendiri.
Sehingga 4 Okt lepas, 697,787 individu mencarum dalam SKSPS dengan 4,052 kes tuntutan yang diproses dan pembayaran faedah keseluruhan melebihi RM19.2 juta.
Pada majlis semalam, KESUMA menerusi PERKESO menyantuni 140 anak yatim dan ibu tunggal serta menyalurkan faedah kepada 14 penerima dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM118,000.
-- BERNAMA
#perkeso #SKSSR #Steven Sim #Suri Rumah
;