Lebih 40 NGO kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa, gesa kerajaan keluarkan pendirian tegas
Rahimah Abdullah
April 7, 2023 14:20 MYT
April 7, 2023 14:20 MYT
KUALA LUMPUR : Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutuk pencerobohan terbaharu rejim Israel terhadap Masjld Al-Aqsa dan serangan tanpa provokasi ke atas ratusan jemaah Islam di dalam dan sekitar masjid itu.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, tindakan itu sekali lagi menunjukkan kepada dunia kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
"Sejak hari pertama Ramadan, tentera Zionis telah menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan mengosongkannya berkali-kali.
"Yang paling kejam adalah pada malam 4 April apabila mereka menyerang jemaah, memukul lelaki dan wanita sehingga menyebabkan ramai cedera parah dan ratusan memerlukan rawatan perubatan, selain menahan ratusan lelaki. Serangan ini berulang lagi malam tadi (5 April)," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Ujarnya, rejim memberikan versi mereka sendiri yang sebenarnya memutarbelitkan peristiwa itu dengan mendakwa jemaah mengurung diri mereka di dalam masjid, sedangkan tentera Zionis sebenarnya menyerang jemaah yang tidak bersenjata dengan bom tangan 'stun', peluru getah dan gas pemedih mata.
"Mereka mahu mengosongkan masjid untuk memberi laluan kepada perayaan agama Yahudi, Paskah di mana upacara penyembelihan haiwan akan berlaku.
"Hakikatnya, keseluruhan tapak Masjid Al-Aqsa adalah milik umat Islam secara eksklusif. Melakukan apa-apa ritual agama lain adalah satu penghinaan kepada masjid ketiga paling suci dalam Islam itu," tegasnya mewakili semua NGO terlibat.
Malah, tindakan membahagikan Masjid Al-Aqsa kepada ruang solat Muslim dan Yahudi oleh rejim Israel adalah terbatal dan tidak sah sama sekali.
Justeru, kesemua NGO itu mendesak seluruh dunia tidak hanya berdiam diri kerana tindakan biadab rejim apartheid itu mesti dikutuk berhabis-habisan.
"Komuniti antarabangsa mesti mengerahkan segala cara untuk memberikan tekanan paling kuat ke atas rejim Zionis Israel.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya serbuan terbaharu rejim Zionis Israel ke atas Masjid Al- Aqsa. Kami percaya bahawa serangan semasa bulan suci Ramadan ini membenarkan sekali lagi definisi Israel sebagai entiti pengganas," katanya.
Gabungan NGO itu juga menggesa semua kerajaan terutamanya kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan pendirian yang tegas terhadap rejim Israel dan menuntut mereka berundur dari Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis dengan serta-merta.
Dalam masa sama, mereka mendesak negara-negara Islam yang telah memeterai perjanjian damai dan normalisasi dengan Israel agar segera memutuskan hubungan tersebut.
"Semua negara yang cintakan keamanan mesti mengambil langkah untuk mengasingkan Zionis terutama dalam ekonomi.
"Kami seru kerajaan terutama kepada kerajaan Malaysia untuk memberikan input kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau ICJ yang telah diberi mandat oleh PBB untuk memberikan nasihat dan pendapat tentang akibat undang-undang yang timbul akibat dasar Israel di wilayah Palestin diduduki iaitu sebenarnya dilakukan Israel adalah jenayah aparthied dan kemanusiaan, dilakukan Zionis," ujarnya lagi.