Lebih 40 hektar hutan musnah di Dungun

Bernama
Mei 19, 2013 17:13 MYT
Lebih 40 hektar kawasan hutan dan belukar di kawasan Kuala Abang, musnah dalam kebakaran selama 12 jam dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah secara terbuka, sejak 2 petang semalam.
Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun Abdullah Ahmad berkata kebakaran yang bermula di kawasan lapang di Kampung Kuala Abang itu merebak sejauh lapan kilometer sehingga ke Kampung Rhu Batil.
"Kebakaran ini menyebabkan sebahagian kawasan tanah pertanian dan tanah individu serta rizab kerajaan musnah.
"Kita mengalami beberapa kesulitan semasa operasi tetapi kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 2 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.
Menurut Abdullah pihaknya mengambil tempoh lama bagi mengawal kebakaran berikutan faktor cuaca panas dan berangin yang menyukarkan kerja memadam kebakaran.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tiga jentera bersama 23 anggota dari Balai Bomba Dungun, Paka dan Marang dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
"Semasa kami tiba, api agak besar dan merebak dengan cepat disebabkan kawasan ini berangin dan terdapat pokok-pokok kering di kawasan sekitar yang memudahkan api merebak.
"Api perlu dipadamkan sepenuhnya bagi mengelak kebakaran ini daripada berulang kerana ia melibatkan tanah jenis pertanian," katanya.
Sementara itu beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering.
#bomba #Dungun #hutan #kebakaran
;