Lebih 40 gajah pigmi Borneo 'serang' ladang sawit di Lahad Datu dihalau
Zulhafiiz Brahim, Fadhil Selihin
Mei 25, 2022 11:45 MYT
Mei 25, 2022 11:45 MYT
LAHAD DATU: Satu operasi menghalau sekumpulan lebih 40 ekor gajah pigmi Borneo yang tersesat telah dijalankan oleh pihak Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu pada Rabu.
Operasi itu dilakukan kawasan ladang kelapa sawit dan kebun kecil berhampiran Hutan Simpan Ulu Segama, Mensuli.
Menurut pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin, sekawan gajah itu telah berada di kawasan berkenaan sejak akhir bulan lalu dan dipantau oleh pihak mereka setiap hari.
"Kita ada buat perjumpaan bersama pekebun-pekebun kecil dan syarikat bagi mencari jalan penyelesaian tentang pengawalan gajah ini.
"Masa untuk gajah kembali ke hutan bergantung pada keadaan dan mungkin mengambil masa yang agak lama juga," katanya.
Tambah Sylvester lagi, buat masa ini masih tidak ada tindakan agresif daripada gajah liar meskipun melalui kawasan perumahan ladang dan pekebun kecil.
"Kita ada perancangan untuk meminta syarikat ladang yang besar untuk memasang pagar elektrik masing-masing dan kita akan membantu pekebun kecil dalam pengawalan.
"Setakat ini belum ada tindakan gajah yang begitu agresif sekali cuma kadang-kadang haiwan ini ada masuk ke kawasan perumahan pekebun kecil dan merosakkan harta benda.
"Pihak jabatan meminta apabila ada pencerobohan gajah di kawasan masing-masing, segeralah laporkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan pengawalan seterusnya," katanya lagi.
Menurut Senior Ranger Zul Azhan Awang, pihak jabatan mengusir gajah liar dengan mengahasilkan bunyian bising.
Pihak jabatan juga membawa senjata api bagi mengawal keselamatan kakitangan yang terlibat dalam mengusir gajah.