Lebih 40,000 rumah dibaik pulih, dibina dalam Program Bantuan Rumah

Wan Syamsul Amly
Julai 29, 2020 14:22 MYT
Bagi tahun 2020, kementeriannya mensasarkan sebanyak 1,300 unit rumah dibina dan 10,500 buah rumah akan dibaik pulih. - Gambar hiasan
Sebanyak 7,149 buah rumah telah dibina dan 38,057 buah rumah telah dibaik pulih dalam Program Bantuan Rumah (PBR) sejak 2016 sehingga 2019.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memberitahu, program yang dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu dilaksanakan bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar mempunyai tempat kediaman yang selamat dan selesa.
Jelasnya, bagi tahun 2020, kementeriannya mensasarkan sebanyak 1,300 unit rumah dibina dan 10,500 buah rumah akan dibaik pulih.
“Program bantuan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan yang melibatkan dua skop iaitu bina baharu rumah bagi golongan sasar yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur, tidak selamat diduduki serta tidak ekonomik untuk dibaiki.
“Ia juga merupakan bantuan baik pulih iaitu bantuan pembaikan rumah golongan sasar yang mana rumahnya masih ekonomik untuk dibaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (PN-Jerantut) yang mahu tahu bentuk bantuan diberikan kementerian bagi memperluaskan pemilikan rumah bagi rakyat miskin dan miskin tegar di luar bandar.
Antara syarat bantuan bina baharu adalah tidak mempunyai rumah; rumah yang didiami terlalu uzur dan tidak selamat didiami dan tidak ekonomik untuk dibaiki.
Keutamaan bantuan diberikan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai selain mangsa bencana yang berskala kecil.
#kerajaan #mangsa #menteri #OKU #pbr #pprt #Program Bantuan Rumah #Program Perumahan Rakyat Termiskin #rakyat #rumah #warga emas
;