Lebih 40,000 petugas barisan hadapan di Sarawak terima vaksin fasa pertama
Fadilah Sulaiman
Februari 15, 2021 20:46 MYT
Februari 15, 2021 20:46 MYT
KUCHING: Kira-kira 40,000 daripada 97,000 petugas barisan hadapan di Sarawak akan menerima vaksin COVID-19 bagi fasa pertama iaitu 27 Februari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, pemberian vaksin itu juga akan dibuat secara berperingkat kepada baki lebih 50,000 lagi petugas barisan hadapan bagi fasa itu.
Sebagai persediaan itu, tambah beliau, sebanyak 56 pusat pemberian vaksin dibuka di seluruh Sarawak.
"Jangkaan kita cuma dapat memberikan vaksin kepada lebih 40,000 petugas barisan hadapan memandangkan jumlah itu sahaja bekalan yang diperoleh Sarawak setakat ini.
"Bagaimanapun, kita akan dapat bekalan baharu tetapi maklumat lanjut mengenainya belum diperincikan. Apa yang penting baki petugas barisan hadapan akan dapat menerima vaksin mereka penghujung Mac," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini pada Isnin.
Katanya, bagi fasa kedua ia melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas selain individu yang mempunyai penyakit kronik tanpa mengira umur mereka.
“Fasa dua kita bagi kepada rakyat yang berumur 60 tahun ke atas sebab mereka ini berisiko tinggi dan juga mereka yang 18 tahun ke atas dan mempunyai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan sebagainya jadi mereka ini dikategori sebagai golongan berisiko tinggi.
“Fasa ketiga adalah yang lain-lain iaitu yang berumur kurang 60 tahun dan tidak berpenyakit,” ujarnya.
Fasa kedua dan ketiga dijangka bermula pada hujung Mac 2021 tertakluk kepada bekalan vaksin dan pusat vaksin juga akan ditambah dari semasa ke semasa bagi menampung pelaksanaannya kepada 2.2 juta rakyat Sarawak yang layak.
#penerima vaksin Sarawak
#Dr Chin Zin Hing
#Pengarah JKN Sarawak
#Sarawak
#petugas barisan hadapan
#petugas kesihatan
#Vaksin COVID 19