Lebih 4 jam kena 'sidai' di KLIA, pengguna MYAirline luah kekecewaan
Zikry Halim
Oktober 12, 2023 11:20 MYT
Oktober 12, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan mengejut syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline untuk menggantung operasi bermula hari ini nyata memberi kesan besar kepada pelanggan terutama yang akan menggunakan perkhidmatannya hari ini.
Pengguna MYAirline di laman platform X, @puteriibalqiis berkongsi rasa kecewanya susulan tindakan mengejut tersebut.
Dia telah menunggu lebih empat jam di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendaftar masuk bagasi, namun berang ekoran tiada kakitangan penerbangan yang bertugas di kaunter memaklumkan berhubung penggantungan tersebut.
"Maklumkan awal, jangan aniaya orang macam ini. Tolong pulangkan balik duit.
"Saya terpaksa beli tiket baharu sebab perlu segera balik ke Kota Kinabalu.
"Ramai lagi orang yang kena macam saya. Kesian tengok termasuk orang tua, semua ada," luahnya di laman sosial X.
Menurutnya, dia dan penumpang hanya mengetahui berkenaan penggantungan operasi melalui laman media sosial MYAirline di platform X.
Topik carian mengenai penutupan MYAirline menjadi carian utama pengguna media sosial susulan pengumuman mengejut tersebut.
Malah, ada juga pelanggan MYAirline seperti Ainaa Najwa yang tidak tahu apakah nasib penerbangannya yang dijadualkan pada bulan November kelak.
"Allah, macam mana dengan tiket saya nak balik kampung bulan November nanti? Boleh dapatkan pulangan wang semula?
"Saya miskin bandar, bila tiket murah, saya beli lah. Sekali jadi macam ini semula.
"Sudah lama saya tidak balik kampung selepas berpantang bulan Mac lalu," katanya.
Pada masa sama, ada juga dalam kalangan pelanggan MYAirline berkongsi pelbagai pengalaman mereka berkenaan perkhidmatan MYAirline.
Menurut mereka, servis dan perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang adalah di tahap memuaskan meskipun ia adalah penerbangan tambang murah.
Tidak terkecuali ada yang mendoakan kesemua petugas dan staf MYAirline diberikan kekuatan dalam menghadapi situasi getir ini.
MYAirline menerusi pengumuman terkini memberitahu sebarang pertanyaan dan bantuan boleh dilaporkan secara terus menerusi email customercare@myairline.my