Lebih 32 peratus rakyat Pahang hadapi masalah obesiti - Exco

Bernama
Mei 23, 2016 20:04 MYT
Norol Azali berkata, kesedaran tentang pengambilan kalori amat penting supaya masyarakat akan lebih berhati-hati dalam hal pemakanan. - Filepic
Lebih 32 peratus daripada lebih 1.6 juta rakyat negeri Pahang mengalami masalah obesiti, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Datuk Norol Azali Sulaiman.
Menurutnya hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas juga mendapati hampir 31 peratus pula mengalami masalah berat badan yang berlebihan.
"Antara puncanya adalah ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga atau kalori dalam makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan dan sekiranya kalori yang diambil berlebihan atau tidak digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal, masalah obesiti akan berlaku.
"Oleh itu, kesedaran tentang pengambilan kalori amat penting supaya masyarakat akan lebih berhati-hati dalam hal pemakanan," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata isu kesihatan adalah tanggungjawab bersama untuk diatasi dan bukan hanya bergantung kepada Jabatan Kesihatan, hospital ataupun klinik.
"Kesedaran kita bagi menjaga diri adalah lebih utama dan berkesan bagi menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Jabatan Kesihatan hanya mampu memberi rawatan dan pendidikan, namun kita sendiri yang memilih untuk mengawal cara hidup kita agar lebih sihat atau tidak.
"Bak kata pepatah Melayu mencegah lebih baik daripada mengubati. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi," katanya yang menyeru rakyat di negeri ini supaya mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.
Sementara itu beliau turut mengesahkan air Sungai Nyior yang bertukar menjadi hitam baru-baru ini didapati tercemar dengan kandungan bakteria E-coli.
Bagaimanapun beliau meminta penduduk daerah ini khasnya supaya tidak bimbang kerana air sungai berkenaan tidak disalurkan ke mana-mana loji rawatan air (LRA) yang berhampiran dan tiada kes penyakit berjangkit bawaan air dan makanan dilaporkan yang berpunca daripada pengambilan air di sungai itu.
"Jabatan Kesihatan Negeri Pahang juga telah membuat hebahan setempat kepada penduduk sekitar tentang risiko yang berpunca dari Sungai Nyior.
"Beberapa siri siaran media yang mengandungi 'public advisory' telah dikeluarkan susulan isu ini timbul.
"Pemantauan kualiti air yang digunakan oleh penduduk setempat juga dilakukan dari semasa ke semasa, begitu juga pemantauan kes-kes penyakit berjangkit yang dilaporkan dari kawasan sekitar Beserah dan Balok," katanya.
Dalam masa yang sama beliau turut menasihati orang awam tidak menggunakan air dari Sungai Nyior untuk kegunaan domestik, penyediaan makanan serta mengelak memakan hasil tangkapan dari sungai tersebut.
Katanya penduduk harus mendapatkan rawatan segera sekiranya ada tanda-tanda penyakit seperti sakit perut, cirit-birit, muntah atau demam.
Dalam perkembangan lain beliau turut memaklumkan, tiada sebarang kes kematian di negeri ini sejak Januaro lepas yang berpunca daripada penyakit kencing tikus atau leptospirosis.
Dakwaan yang mengatakan terdapat satu kes kematian akibat penyakit itu di Taman TAS baru-baru ini adalah tidak benar kerana ia berpunca daripada penyakit lain, katanya.
#Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan #obesiti #Pahang
;