Lebih 300 wakil perniagaan hadiri Business Foresight Forum 2019

Madiha Abdullah
September 19, 2019 22:16 MYT
Ong Kian Ming menyampaikan ucaptama dan pembentangan di Business Foresight Forum (BFF) 2019. - Facebook SIDC
Business Foresight Forum (BFF) 2019 anjuran Securities Industry Development Corporation (SIDC) kembali untuk kali ketiga, dengan tema ‘New Business Directions 2025 – Catalysts for Change’.
Dihadiri lebih 300 perwakilan dari pelbagai sektor industri perniagaan, BFF akan menjadi platform bagi usahawan untuk sentiasa berada di hadapan agar lebih berdaya saing dalam persekitaran yang dinamik.
Turut hadir sebagai panelis adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, yang hadir menyampaikan ucaptama dan pembentangan kertas kerja berjudul Pengukuhan Daya Tahan Ekonomi Malaysia.
"Kita masih dapat mengekalkan lebihan perdagangan yang sihat, sebenarnya lebihan perdagangan kita sebenarnya berkembang dalam beberapa bulan terakhir ini, terutamanya kerana sektor eksport yang membantu tetapi import menurun. Ini mungkin tidak baik kerana pengurangan import adalah petunjuk utama bagi beberapa kelembapan ekonomi yang mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini tetapi penting bagi kita mengekalkan lebihan perdagangan yang sihat.
"Lebihan dagangan memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia bukan sahaja daripada perspektif portfolio tetapi lebih penting lagi daripada perspektif FDI," kata Ong.
Forum itu mensasarkan perbincangan ke arah melahirkan usahawan dan pemain industri yang inovatif, idea peralihan dan transformasi perniagaan baru yang mencerminkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus, integriti dan akauntabiliti untuk pelabur pasaran global menjelang 2025.
Antara panelis lain yang hadir mengupas pelbagai topik ialah pensyarah Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez, Richard Record dari The World Bank Malaysia dan Dr. Dzaharudin Mansor dari Microsoft Malaysia, selain dua personaliti Astro AWANI, Ashwad Ismail dan Melisa Idris.
#Astro #Astro Awani #Business Foresight Forum #Dr Ong Kian Ming #ekonomi #politik
;