Lebih 300,000 terima manfaat Skim Perubatan Madani setakat Nov - Dr Zaliha
Bernama
November 23, 2023 16:10 MYT
November 23, 2023 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Skim Perubatan Madani yang diperkenalkan pada Jun lepas telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 individu di seluruh negara melibatkan hampir 600,000 prosedur rawatan setakat bulan ini.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia melibatkan prosedur rawatan dan pemeriksaan kesihatan di 2,347 fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara yang berdaftar dengan skim berkenaan.
"Skim ini antara usaha meningkatkan kelancaran perkhidmatan kesihatan kepada rakyat selain insiaitif lain termasuk melanjutkan operasi 52 Klinik Kesihatan kerajaan di seluruh negara selepas waktu pejabat serta proses janji temu dalam talian menerusi aplikasi MySejahtera di 903 Klinik Kesihatan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai usaha meningkatkan fasiliti dan kemudahan di klinik-klinik kesihatan seperti kekurangan doktor pakar, ambulans dan sebagainya bagi mengelakkan kesesakan yang sangat teruk di hospital utama.
Skim Perubatan MADANI pertama kali diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas dengan kemudahan berkenaan ditawarkan secara automatik kepada penerima Bantuan Tunai Rahmah.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai sama ada kementerian membuat kajian mengenai kekurangan kemudahan perubatan di Klinik Kesihatan, Dr Zaliha mengakui ketika ini beberapa klinik tidak dilengkapi kemudahan yang diperlukan penduduk sekitar fasiliti kerajaan itu.
"Kita akan terokai perkara ini dan kita akan buat satu dasar baharu untuk atasinya, dan dalam dasar itu bagi pembinaan-pembinaan Klinik Kesihatan baharu selepas ini mungkin perlu ada seperti kemudahan X-ray dan makmal, jadi bagi isu-isu kesihatan berkaitan itu pesakit tidak lagi perlu dirujuk ke hospital utama," katanya.
Selain itu, Dr Zaliha berkata kementerian optimis komitmen untuk menaik taraf 1,200 fasiliti kesihatan daif yang sudah dikenal pasti akan siap sepenuhnya pada 2025 sekali gus memenuhi keperluan semasa.
"436 fasiliti sedang dinaik taraf tahun ini dan dengan tatakelola baik (dari projek itu) kita dapat tambah 75 lagi fasiliti untuk dibaik pulih, manakala tahun depan dengan peruntukan ditambah RM300 juta, kita akan tambah baik 400 lagi fasiliti kesihatan.
"Kita juga dalam fasa melaksanakan perolehan 590 kenderaan ambulans yang dilengkapi peralatan perubatan dan akan diagihkan kepada hospital dan Klinik Kesihatan pada suku kedua tahun hadapan," katanya.
-- BERNAMA