Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata anggaran tersebut melibatkan 103,000 kenderaan melalui Tol Simpang Ampat, Tol Ayer Keroh (172,000) dan Tol Jasin sebanyak 43,000 kenderaan.
"Peningkatan jumlah kenderaan ini disebabkan oleh cuti perayaan yang disertai cuti sekolah yang panjang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 23 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Md Nazri berkata sebanyak 17 pegawai dan 138 anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka akan ditempatkan di kawasan-kawasan 'hotspot' yang sering berlaku kesesakan lalu lintas serta kawasan 'blackspot' yang kerap mencatatkan kemalangan.
Beliau berkata antara lokasi 'hotspot' yang dikenal pasti ialah Jalan Mufti Haji Khalil, Jalan Rembia-Kendong dan Jalan Gapam-Bemban.
POLIS-MELAKA (KENDERAAN) 2 (AKHIR) MELAKA
Sementara itu, kawasan 'blackspot' yang sering mencatatkan kemalangan termasuk Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ), Jalan Sungai Udang-Lubok China dan Jalan Merlimau-Jasin.
Md Nazri turut menjelaskan sepanjang Op Selamat itu, ini, pihak JSPT Melaka akan menumpukan kepada enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya iaitu memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon ketika memandu, pandu lebih had laju, pandu di lorong kecemasan dan gagal patuhi isyarat lampu.
Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 399 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina termasuk lima kemalangan maut, satu kemalangan parah, sembilan kemalangan ringan dan 384 kes kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan.
-- BERNAMA