Lebih 30 rumah rosak dibadai ribut di Kuala Nerus

Bernama
Februari 26, 2022 00:35 MYT
Kejadian itu dikatakan berlaku tidak sampai seminit namun impak kemusnahannya sangat besar. - Gambar/BERNAMA/Muhammad Mat Yasin
KUALA NERUS: Lebih 30 rumah di Kampung Padang Nenas dekat sini, rosak teruk akibat dibadai ribut kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Seorang penduduk, Syahida Kamaliah Abdul Karim, 36, berkata walaupun kejadian itu berlaku tidak sampai seminit namun impak kemusnahannya sangat besar.
"Beberapa jam sebelum kejadian, hujan memang sangat lebat disertai angin kencang. Apabila terdengar tiupan angin semakin kuat, saya bergegas ke pintu untuk melihat situasi di luar rumah dan terkejut apabila melihat atap berterbangan dan banyak barang berselerak.
"Saya sempat rakam video berdurasi 14 saat, memang sangat cemas kerana ini kali pertama ribut kuat berlaku sejak saya tinggal di sini pada tahun 2014," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Susulan kejadian itu, Syahida Kamaliah dan empat anak berusia dua hingga 11 tahun terpaksa berpindah sementara ke rumah ibunya di Kampung Jati dekat Gong Badak kerana risau ribut akan berulang.
"Tenaga Nasional Berhad telah memotong bekalan elektrik ke kawasan rumah kami kerana ada struktur premisnya yang rosak akibat ribut," katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Mat Yasin, 36, pula berkata ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anak tiada di rumah kerana pulang ke kampungnya di Ajil, Hulu Terengganu.
"Saya dapat panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumah rosak teruk akibat ribut. Memang terkejut dan sedih melihat kesan kemusnahannya, beberapa ruang di bilik atas dimasuki air kerana atap telah tercabut.
"Tujuh jiran saya yang berdekatan turut mengalami pelbagai kerosakan, kami tak sempat baiki kerana perlukan masa untuk mencari tukang yang boleh membaikinya dengan kadar segera," katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Nerus Kapten (PA) Zahidi Zainudin ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya masih mengumpul data jumlah sebenar rumah yang terlibat.
"APM menasihatkan orang ramai agar kekal berada di kediaman sendiri sekiranya tiada perkara yang mustahak. Berdasarkan laporan Met Malaysia (Jabatan Meteorologi), kelajuan angin di Terengganu ketika ini boleh mencapai hingga 60 kilometer sejam.
"Berdasarkan maklumat awal, ribut ini berlaku dari pukul 10 pagi hingga 3 petang secara berperingkat menyebabkan kerosakan seperti bumbung rumah yang tercabut dan pokok tumbang," katanya.
-- BERNAMA
#ribut #terengganu #Kuala Nerus #rumah rosak
;